Penghulu Segala Air : Zam Zam
Bersaksikan padang pasir yang tandus, di sebuah lembah tanpa pepohon, bermula kisah ajaib pengorbanan dan pemberian..
Berkata Hajar : زُمِّ زُمِّ , sambil membuat kepungan (atau batas) dengan kedua belah tangannya agar tidak merebak air yang memancar keluar.
(( يرحم الله أم إسماعيل لو تركت لكانت زمزم عيناً معيناً ))
Allah merahmati Ibu Ismail, andai dia biarkan, nescaya Zam Zam akan mengalir tanpa henti di atas muka bumi.
Sabda Rasulullah SAW:
(( إنها مباركة، إنها طعام طعم ))
Sesungguhnya ia (air) yang diberkati, dan sesungguhnya ia makanan (pengganti) yang mengenyangkan, berzat dan menghindar penyakit).
(( خير ماء على وجه الأرض ماء زمزم، فيه طعام من الطعم وشفاء من السقم ))
Sebaik-baik air di atas muka bumi ialah air Zam Zam, padanya ada zat makanan daripada makanan (air bersifat makanan) dan penyembuh dari penyakit.
MISTERI ZAMAN BERZAMAN, ITULAH AIR ZAM ZAM, MUKJIZAT RABBANI YANG MENAKJUBKAN
Beberapa fakta Telaga Zam-Zam :
Kedalaman : 31 meter; 13.5 m (telaga teratas), 0.5m (Bahagian tengah yang menerima mata air), 17m (telaga terbawah).
Jarak dari Ka’bah : 21 meter (hampir setentang dengan Hajar al-Aswad).
Keupayaan mengeluarkan air: 11 liter - 18.5 liter sesaat.
Proses pengepaman : 2 buah pam besar menyedut berterusan selama 24 jam sehari tanpa henti, kemudian disalurkan terus ke Kilang Zam Zam Raja Abdullah bin Abdul Aziz di daerah Kuday dengan bantuan sistem mekanikal melalui paip khas sebelum diagihkan semula ke Masjid al-Haram. Adapun untuk Masjid Nabi, air Zam Zam dihantar dengan lori tangki air yang berkunci setiap hari. Secara purata 150,000 liter diagih pada hari-hari biasa, dan hampir 400,000 liter pada musim-musim ziarah.
Proses agihan: Sebanyak 40,000 bekas diisikan air Zam Zam, kemudian diangkut menggunakan kereta elektrik ke dalam kedua-dua Masjid, yang sejuk dan yang tidak sejuk.
Sumber air telaga: Dari dua mata air; satu dari arah Ka’bah al-Musyarrafah, satu lagi dari arah Bukit Abi Qubais dan bukit as-Sofa. Ada beberapa sumber lain mengatakan pendapat berbeza, antaranya dari Utara Turki dan berpunca dari batu Meteorit yang tertanam di bawahnya. Hakikatnya Allah Lebih Mengetahui.
ANTARA MUKJIZAT AIR ZAM ZAM :
1) Sentiasa bersih. Tidak tumbuh langsung di dalamnya alga, fungus, rumpai, mahupun apa-apa tumbuhan yang menyebabkan perubahan sifat dan rasa pada air. Tidak juga bersarang serangga-serangga dan apa-apa ejen pencemar air biasa.
2) Tidak pernah surut dan putus bekalan airnya sejak hampir 5000 tahun, sejak pertama kali digali pada zaman Nabi Ibrahim a.s serta tidak akan kering sampai bila-bila -dengan perintah Tuhan-
3) Sentiasa mencukupi untuk kegunaan semua jemaah Haji dan Umrah. Purata penggunaannya pada 7 Zulhijjah setiap tahun ialah 10,000 meter padu per saat. Apabila eksperimen dilakukan dengan mengepam air Zam Zam keluar, didapati airnya keluar melalui celah-celah pasir sebanyak ia disedut, sedangkan tiada mana-mana telaga lain berhampiran.
4) Suci dan elok untuk diminum terus tanpa perlu ditapis atau dimasak. Pada 1971 seorang Doktor pernah mendakwa bahawa air Zam Zam tidak sesuai untuk diminum kerana faktor geografi Mekah yang lebih rendah dari permukaan laut. Lalu pemerintah Saudi ketika itu, Raja Faisal mengarahkan supaya diambil sampel air Zam Zam untuk diuji di Eropah untuk memeriksa kesucian dan keelokannya untuk diminum. Orang yang bertanggungjawab mengambil sampel tersebut ialah Ma’in ad-Din Ahmad, seorang jurutera dari Kementerian Pertanian dan Sumber Air. Apabila sampai di telaga, beliau berasa hairan dan tertanya-tanya bagaimana telaga yang berukuran 18 kaki tinggi dan 14 kaki lebar ini boleh membekalkan air berjuta-juta gelen kepada jemaah-jemaah sejak ia mula digali tanpa terjejas atau habis. Lalu untuk memeriksanya, beliau gunakan air Zam Zam untuk mandi dan selepas itu masuk ke dalam untuk tahu kedalaman telaga dan mencari sumber airnya. Ketika itu air tidak melebihi paras bahunya, maka dia mencari-carilah di sekeliling mana puncanya, namun tidak menemuinya. Kemudian dia mengambil keputusan untuk menggunakan pam untuk mengepam keluar air dari telaga, namun tidak berhasil juga kerana setiap kali disedut keluar, air akan kembali penuh sebanyak mana ia disedut. Tidak berpuas hati, beliau meminta pula pertolongan kawannya untuk mengepam air sambil dia berada di dalam perigi. Semasa air dipam, beliau berasa pasiran di kakinya bergerak-gerak, dan air keluar dari bawah dan memenuhi perigi semula. Akhirnya beliau berhenti dan mengambil sampel yang dikehendaki untuk dihantar ke makmal di Eropah. Keputusan makmal mendapati terdapat kandungan mineral beralkali dalam konsentrasi yang tinggi iaitu Sodium, Kalsium, Magnesium dan mineral-mineral lain yang mengikut Standard Piawaian Kesihatan Sedunia berbeza dengan mana-mana air lain. Ia berupaya menambah tenaga dalam tubuh, membuang lebihan asid, menyeimbangkan kadar pH tubuh, berfungsi sebagai anti-oksida, membuang toksik, membantu pencernaan dan menyeimbangkan sistem tubuh. Maka tidak hairanlah jemaah haji dan umrah kembali segar dan bertenaga setelah meminumnya. Didapati juga ada kandungan Florida yang dapat membantu membunuh kuman-kuman. Adapun kandungan mineral yang toksik wujud dalam nisbah yang lebih rendah daripada tahap memudaratkan bagi kegunaan manusia. Ia malah bebas sepenuhnya daripada bakteria dan virus. Tidak kurang juga di dalamnya terkandung ciri-ciri yang bersifat penyembuh. Antaranya ia berupaya menghapuskan sel-sel kanser, memperbaiki penglihatan, bermanfaat untuk perempuan hamil dan menyusukan anak, begitu juga melambatkan tanda-tanda penuaan.
5) Tidak akan 'decomposed' (semakin lama berubah sifat menjadi semakin tidak elok) dan tidak akan berubah walaupun terdedah kepada cuaca serta iklim luar.
Selain itu, ajaibnya Zam Zam hingga molekulnya pun berupa kristal jernih yang tiada tandingan serta boleh bertukar bentuk dan sifat mengikut suara atau bunyi yang didekatkan padanya berdasarkan kajian seorang Saintis Jepun yang pernah tersebar sebelum ini.
Itulah air Zam Zam yang diberkati..
(( ماء زم زم لما شرب له ))
Air Zam Zam menyempurnakan tujuan apa (niat) ia diminum.
-والله أعلم-
اللهم اجعلنا من شاربي زمزم
SHARE UNTUK MANFAAT BERSAMA
Comments
Post a Comment