7 Rahsia Amalan Ahli Perniagaan Terkenal Islam ; ABDUL RAHMAN BIN AUF


Untuk perkongsian kali ini, kita berkenalan dengan Abdul Rahman Bin Auf yang merupakan seorang ikon usahawan yang juga merangkap tokoh jutawan islam.
Sama-sama kita tengok apakah model bisnes dan rahsia kejayaan beliau? Ahli perniagaan terkaya pada zaman Rasulullah SAW ini, pernah ditawarkan dengan harta kekayaan dan seorang isteri; tetapi beliau menolaknya dan hanya mahu tahu jalan menuju ke pasar.
Kekayaan yang dimiliki tidak melalaikannya, bahkan semakin mendekatkan dirinya dengan pemilik segala kekayaan, Allah yang Maha Kaya. Dalam Perang Tabuk, beliau menderma lebih daripada RM25 juta. Nilai dermanya ketika itu setara dengan nilai 200 dinar, 500 ekor kuda, atau 1500 ekor unta.
Apakah rahsia kekayaan dan rahsia kejayaan bisnes Abdul Rahman? Sekiranya ada yang bertanya tentang rahsia bisnesnya, beliau menjawab, “Aku tidak menjual barang-barang yang rosak. Aku merasa cukup dengan untung yang sedikit, tetapi diberkati Allah.”
Beliau bermula dengan apa yang ada di tangan. Produk jualan beliau yang pertama adalah keju dan minyak, kerana itu sahajalah yang ada di tangannya ketika berhijrah ke Madinah. Beliau memulakan bisnes, memecahkan monopoli bisnes Yahudi, dan menjadi jutawan terkaya di Madinah.

1. Pandai Mencari Peluang

Salah satu perniagaan yang dijalankan oleh beliau adalah perniagaan unta. Beliau berjaya mendominasi perniagaan unta ini yang sebelum itu telah pun didominasi oleh kaum Yahudi. Persoalannya, bagaimana Abdul Rahman bin Auf mampu mematahkan strategi kaum Yahudi?
Konsepnya mudah, untung sedikit tetapi dalam kuantiti yang banyak. Beliau memulakan perniagaan menjual unta. Harga unta yang dijual hanya 1000 dirham (tiada untung kerana harga kos unta adalah 1000 dirham juga!).
Beliau hanya mengambil untung atas jualan tali yang mengikat unta tersebut. Bayangkan beliau dapat menjual 1000 ekor unta dalam masa sehari sahaja.
Beliau langsung tidak mengambil keuntungan dengan hasil jualan unta, namun apabila ditanya kepada beliau, beliau menjawab:
Keuntungan tidak diambil dari hasil penjualan unta. Unta dijual pada harga kos. Tetapi, keuntungan diambil dari menjual “tali pengikat unta”.
Dari situlah datangnya keuntungan beliau berniaga. Tali-tali yang dijual adalah cantik dan bermacam- macam warna. Jarang orang lain yang berniaga unta dapat menandingi kelebihan beliau berniaga.

2. Syukur Walau Untung Sedikit

Jangan sesekali ambil mudah soal keuntungan yang bakal diambil dari pembeli, dan jangan pula mengambil mudah soal halal dan haram dalam perniagaan.
Sebagai contoh, sekiranya kita mempunyai kos tanggungan seperti kos penghantaran, kita harus bijak mengira kos supaya keuntungan dapat ditampung walaupun kos penghantaran produk biasanya tidaklah seberapa. Dari segi halal haramnya, jangan pula ada unsur-unsur riba dalam menguruskan perniagaan.

3. Jangan Seksa Pelanggan

Beliau memegang pada prinsip tidak pernah melambatkan penjualan barangan daripada yang meminta. Sekiranya ada permintaan, beliau akan sedaya upaya mendapatkan barangan yang diminta oleh pelanggan.
Strategi ini boleh diaplikasikan dalam perniagaan yang dijalankan. Jangan berlengah dalam memenuhi permintaan pelanggan. Jika pelanggan bertanyakan tentang sesuatu barangan, peniaga hanya membiarkan pelanggan berlalu pergi dengan menyatakan, “Barang yang diingini tidak dijual disini”.

Jadilah peniaga yang bijak dengan tidak ‘melepaskan’ pelanggan, sebaliknya akan berusaha sedaya upaya mendapatkan bekalan barangan yang diminta daripada jaringan rakan-rakan perniagaannya yang lain.
Percepatkan segala urusan jual beli. Percepatkan segala layanan pelanggan. Terbukti dari zaman dahulu sehingga kini, kelajuan dan kepantasan menangani masalah dan pelanggan dalam perniagaan akan memberi pulangan yang tinggi.
Pelanggan pula akan suka kepada peniaga sebegini. Dengan memudahkan urusan pelanggan, besar kemungkinan pelanggan akan melanggan buat kali kedua dan seterusnya.

4. Sila Bayar Tunai

Beliau tidak akan sesekali menjual secara tangguhan bayaran. Hanya urusan jual beli dalam tunai sahaja yang dibenarkan. Teknik tagguhan bayaran akan memberi kesan negatif dalam perniagaan.
Bayaran secara tunai akan memberi peluang kepada peniaga untuk pusingan modal dengan lebih cepat, dan mudah untuk digunakan bagi membeli barangan yang baru untuk dijual.

5. Yakin Dengan Rezeki Allah

Mengapa Pasar Ansar kepunyaan Rasulullah SAW di Madinah mencipta sejarah menang besar dalam persaingan perniagaan dengan peniaga yahudi atau orang bukan Islam Madinah?
Rahsianya penting yang harus peniaga Islam ketahui ialah setiap malam yang sepi waktu dinihari, para pelaksana perniagaan diketuai oleh Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. sendiri akan bermunajat kepada Allah dan Rasul, untuk menyokong dan memberi kerjasama dalam perniagaan mereka.

Mereka semua melakukan solat hajat, berdoa, taubat, zikir wirid, membaca Al-Quran, selawat dan lain-lain ibadah sampingan demi mendapatkan Tuhan sebagai penolong dan pemimpin. Maka jatuhlah ke hati mereka mukjizat Rasulullah SAW mengajarkan bagaimana perniagaan menurut Islam atau cara berniaga yang disuruh Allah SWT.
Mereka akhirnya dapat menawan hati penduduk kota Madinah. Para penduduk mula beralih daripada peniaga yahudi kepada peniaga pimpinan Abdul Rahman bin auf r.a. Beliau memupukkan rasa kasih sayang sesama peniaga dan para pelanggan.
Rindu untuk duduk bersama Rasul dan para sahabat membuatkan orang Madinah akhirnya berpusu-pusu membeli di Pasar Ansar. Maka akhirnya peniaga yahudi mula meninggalkan kota Madinah.

Begitulah kehebatan strategi perniagaan yang diamalkan Abdul Rahman bin Auf yang harus dijadikan contoh kepada kita lebih-lebih lagi sebagai peniaga. Hamka amat tertarik dengan jawapan yang telah diberikan oleh Abdul Rahman bin Auf.
Jika ada yang bertanya tentang rahsia perniagaannya, Abdul Rahman bin Auf menjawab;
“Aku tidak menjual barang-barang cacat, aku merasa cukup dengan untung yang sedikit kerana aku tahu Allah memberkati..”

6. Usaha Secara Berterusan

Kita lihat kekuatan jiwa yang dimiliki oleh Saidina Abdul Rahman dalam berniaga. Dalam peristiwa Hijrah, beliau sanggup tinggalkan kekayaan semata-mata menyahut seruan Hijrah. Namun, beliau cepat-cepat berusaha mengubah nasib diri setibanya di Madinah berbekalkan modal yang ada. Kita juga harus bersikap sedemikian, jangan mudah mengalah jika bankrup atau gulung tikar.
Orang beriman dan bertakwa yang kaya adalah mereka yang senantiasa memiliki keyakinan bahawa segala usaha yang mereka kerjakan pasti mendapat keberhasilan tidak kira cepat atau lambat, sedikit atau banyaknya untung.

7. Tidak Tamak Atau Mementingkan Diri

Abdul Rahman Bin Auf adalah seorang pemimpin yang bijak dan cekap menguruskan hartanya. Sebagai buktinya, ia tidak mahu sebarang musibah dan melalaikan berlaku dengan mengumpulkannya dan tidak pula dengan menyimpannya. Bahkan ia mengumpulkannya secara cukup santai dan dari jalan yang halal dan dibenarkan oleh syarak.
Kemudian ia tidak menikmatinya secara bersendirian, tapi ikut menikmatinya bersama keluarga dan kaum kerabatnya serta saudara-saudaranya dan masyarakat seluruhnya.
Dan kerana begitu luas pemberian serta pertolongannya, pernah dikatakan orang, “Seluruh penduduk Madinah bersekutu dengan Abdul Rahman bin Auf pada hartanya.
Sepertiga dipinjamkannya kepada mereka. Sepertiga lagi dipergunakannya untuk membayar hutang-hutang mereka. Dan sepertiga bakinya lagi diberikan dan dibahagi-bahagikannya kepada mereka yang memerlukannya”

Masih Relevan Sehingga Ke Hari Ini

Walaupun kisah kejayaan berlaku berkurun lamanya, tetapi ianya masih relevan hingga ke hari ini. Pada zaman sekarang, berapa ramai daripada usahawan yang hanya mementingkan keuntungan duniawi semata-mata? Tanpa mengambil kira halal haram, betul atau salah; asalkan dapat untung yang banyak.
Insyaallah jika kita kejar akhirat, dunia pula akan kejar kita dan semoga kita beroleh keuntungan di dunia dan di akhirat kelak.


Comments

Popular Posts