Saidina Umar Takut Jika Rakyatnya Terabai
Saidina Umar Al-Khattab merupakan seorang daripada sahabat Rasulullah S.A.W dan juga khalifah Islam ke-2 selepas kewafatan Saidina Abu Bakar. Apabila mendengar namanya, pasti anda akan teringatkan sifatnya yang sangat berani, tegas, adil, sederhana dan juga bertanggungjawab. Sifat bertanggungjawabnya itu ditunjukkan dengan mendahului kepentingan rakyatnya lebih daripada kepentingan dirinya.
Selain terkenal dengan sifat tegas, beliau juga memiliki sifat yang sangat lemah lembut dan kasih sayang terhadap rakyatnya.
Pada suatu malam, ketika Umar berjalan melihat keadaan rakyatnya bersama seorang pembantu melalui lorong-lorong kota Madinah, mereka bertemu dengan seorang wanita dan anak-anaknya duduk mengelilingi periuk besar di atas api. Anak-anak itu mengeluh kelaparan. Lalu Khalifah Umar mendekati keluarga itu bertanya kepada ibu itu apa yang terjadi, maka ibu itu menjawab anak-anaknya kelaparan kerana sudah 2 hari mereka tidak makan, yang dimasaknya hanyalah air dan batu supaya anak-anaknya boleh menunggu hingga tertidur. Umar bertanya kepada ibu tadi kenapa tidak diberitahu kepada Khalifah Umar?. Maka berkatalah ibu tadi: “Seharusnya dialah yang tahu keadaan kami, dia punya kuda dan juga ribuan tentera, seharusnya dia tidak boleh tidur nyenyak dirumahnya sementara rakyatnya seperti kami ini kelaparan dan kedinginan”, tanpa dia mengetahui orang yang ada dihadapannya adalah Khalifah Umar.
Mendengar jawapan itu Saidina Umar terus ke gudang menyimpan gandum dan mengambil satu karung gandum bersama minyak samin. Saidina Umar mengendong sendiri gandum dan minyak itu walaupun pembantunya melarang dan ingin membantunya membawa barangan tersebut. Umar berkata: "Apakah kamu ingin memikul dosaku di hari kiamat kelak?" , kemudian Umar ke tempat wanita itu membawa barangan tersebut dan menghidupkan api serta memasak gandum yang dibawa bersamanya. Kemudian Saidina Umar r.a meminta perempuan tersebut mengejut anak-anak nya untuk makan makanan yang telah dimasaknya,sebelum berlalu Saidina Umar meminta wanita itu datang ke pejabat khalifah untuk mendapatkan bantuan segera, pagi harinya wanita itu pergi ke pejabat khalifah dan dia sangat terkejut kerana orang yang membantunya semalam adalah Saidina Umar bin Al-Khattab.
Begitu juga kisah Umar berjalan di malam hari, pada suatu ketika Umar r.a sangat tertarik dengan seorang anak gadis yang enggan mencampurkan susu dengan air kerana takutkan Allah. Bahkan Umar melamar gadis itu untuk puteranya, Ashim bin Umar.
Muawiyah bin Hudaij RA datang kepada Umar rentetan daripada penawanan Iskandariyah, dan lantas mengikat haiwan tunggangannya. Ketika itu keluar seorang kanak-kanak perempuan dan terlihat olehnya Umar yang kelihatan seperti letih kerana bersafar. Lalu dihidangkan oleh kanak-kanak itu kepada Umar dengan roti, buah zaitun dan kurma dan Umar pun mula makan makanan tersebut. Kemudia Umar bertanyakan kepada Muawiyah "Wahai Muawiyah, apakah yang diperkatakan olehmu sebentar tadi ketika engkau singgah di masjid?,". Lalu jawab Muawiyah "Aku berkata bahawa engkau Amirul Mukminin sedang tidur di waktu siang,".
Lalu Umar pun membalas, "Sungguh tidak baik sekali apa yang engkau katakan itu dan alangkah buruknya apa yang engkau sangkakan itu. Jika aku tidur di waktu siang, maka sesungguhnya aku telah mengabaikan rakyatku dan jika aku tidur di waktu malam maka aku telah merugikan diriku sendiri (kerana tak bangun solat malam). Jadi beritahu padaku bagaimana aku dapat tidur di kedua-dua waktu tersebut wahai Muawiyah?,"
Apa yang dimaksudkan oleh Muawiyah berkemungkinan adalah beliau kasihankan Umar yang letih kerana bersafar dan mahukan Umar supaya berehat. Bahkan rakyat jelata juga pastinya akan memahami dan mengasihani pemimpin mereka yang sangat telus dan bertanggungjawab itu sehinggakan mereka rela jika Umar berehat. Namun bagi Umar, beliau risau jika rehat dan tidurnya itu akan menghalang rakyatnya untuk mengadu kemahuan dan keinginan mereka kepadanya. Betapa dasyatnya peribadi Umar sebagai seorang pemimpin.
Umar berkata lagi, "Jika terdapat seekor unta yang mati kerana tidak diuruskan dengan baik, aku sangat takut jika Allah memintaku untuk bertanggungjawab atas kelalaian hal tersebut,". Subhanallah jika rasa tanggungjawab Amirul Mukminin ini terhadap seekor unta sahaja pun sudah sedemikian rupa, bayangkan rasa tanggungjawabnya terhadap rakyatnya pula?
Ketika Umar mengerjakan haji terakhir dalam hidupnya, beliau duduk bersimpuh lalu mengangkatkan tinggi kedua belah tangannya ke langit ambil berdoa, "Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya umurku sudah semakin menua dan tubuh badanku sudah semakin lemah, sedangkan rakyatku semakin bertambah, maka Engkau cabutlah nyawaku ketika aku berada dalam keadaan yang tidak merugikan,"
Pernah Abdullah bin Abbas RA memberitahu, "Setiap kali selepas solat, Umar akan duduk bersama-sama rakyatnya dan rakyatnya pula akan datang mengadukan apa yang diperlukan kepada Umar. Umar kemudiannya akan meneliti permintaan tersebut. Kebiasaan yang dilakukan oleh Umar adalah beliau akan duduk menyemak keperluan rakyatnya setelah selesai solat subuh sehingga terbitnya matahari. Kemudian barulah beliau pulang ke rumahnya,"
Malah ada sebahagian rakyatnya yang berasa segan dan malu untuk mengadu masalah mereka kepada Saidina Umar kerana kewibawaannya sebagai seorang pemimpin. Oleh kerana perkara itu, beberapa orang sahabat; Ali bin Abi Thalib, Utsman bin Affan, Thalhah bin Ubaidillah, az-Zubair bin al-Awwam, Abdurrahman bin Auf, dan Saad bin Abi Waqqash bercadang untuk memberitahu Umar mengenai perihal itu.
Lalu Abdurrahman bin Auf yang paling berani untuk membicarakan perkara itu mara ke hadapan untuk berbincang dengan Umar. Berkata Abdurrahman kepada Umar, "Wahai Umar, berlemah lembutlah dengan rakyatmu kerana ada di antara mereka yang datang berjumpa denganmu tetapi keperluan mereka tidak terucap kepadamu kerana kewibawaanmu yang sangat tinggi. Lalu mereka pun pulang tanpa membicarakan apa-apa.
Umar dengan tenangnya menjawab pertanyaan Abdurrahman, "Wahai sahabatku, sesungguhnya dan demi Allah, aku telah pun melayan rakyatku dengan selembutnya sehinggakan aku takut kepada Allah jika aku berlebihan dalam berlemah lembut dengan mereka. Dan sesungguhnya, aku juga bersikap tegas terhadap mereka sehinggakan aku takut kepada Allah jika ketegasan aku melampaui batas. Jadi, beritahuku, apa yang harus aku lakukan lagi,". Mendengar jawapan Umar lalu tertitislah air mata Abdurrahman membasahi pipinya.
Comments
Post a Comment