Marhaban Ya Ramadhan

Assalamualaikum

Ramadan kembali Dengan Penuh Harapan

Kini Ramadan kembali menjelma. Maka sudah semestinya, persiapan untuk Ramadan sudah diperkemaskan, kerana bulan Ramadan ini bagaikan permata yang sangat berharga bagi umat Islam, dan hanya dijumpai hanya setahun sekali.

Generasi para sahabat, dan orang-orang soleh yang terdahulu, sangat menantikan bulan Ramadan. Mereka berdoa supaya disampaikan mereka ke bulan Ramadan.
‎اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا لَنَا فِي رَمَضَانَ
Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan (pertemukan kami dengan bulan Ramadan).

Begitulah sifat mereka yang selalu mengharapkan keredaan Allah SWT, menanti-menantikan anugerah pahala yang berganda-ganda daripada Ilahi.
Jika diteliti sirah dan sikap para sahabat, diantaranya mereka ini memiliki dua sifat yang sangat baik untuk kita contohi, iaitu raja’ dan Khauf.

Raja’ ini bermaksud pengharapan. Para sahabat begitu mengharapkan keredaan dan syurga Allah SWT, sehingga selalu bertanya kepada baginda nabi SAW tentang amalan yang terbaik yang membolehkan mereka masuk ke syurga bersama baginda.

Dan begitulah sifat raja’ ini, para sahabat begitu tidak sabar untuk bertemu dengan bulan Ramadan sehingga kerap kali berdoa di bulan Syaaban supaya diberikan peluang bertemu dengan bulan Ramadan.

Khauf pula bermaksud takut. Generasi para sahabat dan orang soleh yang terdahulu, mereka selalu takut jika mereka ini termasuk dalam golongan orang yang rugi.

Mari kita lihat hadis yang ke 29 dalam kitab 40 hadis Imam An-Nawawi –
Dari Mu’az bin Jabal RA dia berkata : Saya berkata : Ya Rasulullah, beritahukan saya tentang perbuatan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga dan menjauhkan saya dari neraka.
Baginda bersabda: Engkau telah bertanya tentang sesuatu yang besar, dan perkara tersebut mudah bagi mereka yang dimudahkan Allah Ta’ala, – Beribadah kepada Allah dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, menegakkan solat, menunaikan zakat, puasa Ramadan dan pergi haji. Kemudian beliau (Rasulullah SAW) bersabda: Maukah engkau aku beritahukan tentang pintu-pintu syurga? Puasa adalah perisai, Sedekah akan mematikan (menghapus) kesalahan sebagaimana air mematikan api, dan seseorang yang solat pada pertengahan malam (qiyamullail),

Hadis di atas menunjukkan para sahabat tidak mahu ketinggalan dalam melakukan amalan-amalan yang membolehkan mereka meraih syurga Allah SWT, khusus untuk bulan Ramadan ini. Mereka takut sekiranya mereka tidak dapat sampai ke bulan Ramadan kerana ajal menjemputnya dahulu.

Persoalannya, apakah yang istimewanya tentang bulan Ramadan yang menyebabkan orang-orang soleh terdahulu mempersiapkan diri untuk menghadapinya?

Di bulan Ramadan, terdapat pelbagai anugerah yang tak terhingga dan tidak ada pada bulan lain. Antaranya ialah Lailatul Qadar yang malamnya itu menyamai 1000 bulan dan Solat Terawih yang dikategori sebagai solat malam (Qiam).

Dan hebatnya pada bulan Ramadan, Allah menganugerahkan dua perkara kepada umat islam, iaitu memenjarakan musuh manusia yakni syaitan, dan mengurniakan taufiq (hidayah) untuk beribadah.

Di bulan yang lain, umat Islam menghadapi musuh yang utama yang sering menganggu manusia untuk melakukan kebaikan dan ketaatan iaitu nafsu dan syaitan, tetapi dibulan Ramadan, syaitan telah dibelenggu dan nafsu telah dipenjarakan dengan berpuasa di siang hari. Dan pada bulan ini juga, ramai manusia terdorong untuk berbuat kebaikan.

Begitu indahnya Allah menganugerahkan satu bulan yang agung diantara 12 bulan, iaitu Ramadan. Contohilah sifat para sahabat dan orang-orang soleh yang terdahulu, iaitu mereka mempunyai sikap Raja’(Pengharapan) & Khauf (Takut) dalam diri.

Dengan umur manusia yang pendek, dan mati yang tidak diketahui bila, maka Ramadan adalah peluang terbaik untuk mengumpul pahala sebanyak-banyaknya untuk bekalan di hari akhirat kelak.

Wasallam

Comments

Popular Posts